Wednesday, September 1, 2010

Jihad - Satu Cabang Perniagaan


PDF Cetak Emel
Image
Selepas tragedi 11/9, masyarakat Islam yang semakin tertekan di sarankan untuk terus mengutamakan jihad.  Namun kali ini, jihad yang dianjurkan ialah dalam usaha untuk  memperkukuhkan ekonomi dunia Islam.Mengikut Tan Sri Muhammmad Ali Hashim (gambar), Ketua Eksekutif, Johor Corporation, sebab-sebab utama  masyarakat Islam perlu berbuat demikian adalah kerana kita:-
 
1. Mudah ditewaskan dalam perang jihad kerana kekurangan senjata.
Oleh  itu, umat Islam tidak mempunyai pilihan lain untuk menentukan kewujudan  umat sejagat.
2. Perlu membina semula kekuatan dan menghimpun kekayaan
Secara umumnya, umat Islam hidup dalam kemiskinan dan mereka jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi. Masyarakat Islam juga dianggap  sebagai "totalitarian", "tidak boleh bertolak ansur" dan "mundur" oleh masyarakat lain. Ini menyebabkan mereka menggelar negara Islam sebagai negara yang gagal.

3. Medan perang Abad 21 adalah  dalam dunia perniagaan dan korporat
Sistem ekonomi abad 21 yang berorientasikan sistem ekonomi kapitalis  menyaksikan organisasi-organisasi korporat berperanan dominan dalam bidang ekonomi. Pemusatan kuasa ekonomi global pada 'multi national corporation' (MNCs) barat mengancam penjajahan semula sesebuah negara yang turut memberi kesan kepada nilai hidup dan budaya setempat 
Mengikut kajian oleh UNDP ( Human Development Report 1999), nilai harta milik tiga jutawan terkaya di dunia melebihi jumlah himpunan KDNK semua negara membangun di dunia yang mempunyai jumlah penduduk seramai 600 juta.

Oleh itu Tan Sri Ali menyarankan agar  kita bersedia menangkis ancaman kapitalisme dengan menjauhi sindrom "katak dalam air panas", satu sifat dimana seseorang itu  akan gagal atau tewas dalam keselesaannya sendiri setelah berkhayal dan hilang pedoman dan pegangan hidup. Malah menurut beliau lagi, sistem global kapitalis tanpa sempadan adalah sesuatu yang buas dan liar, walaupun begitu, dunia terpaksa menerima kewujudannya.  
Menurut Tan Sri Ali lagi, kelemahan ekonomi bangsa Melayu dan umat Islam amnya menyebabkan mereka mudah saja ditewaskan dan diketepikan di arena politik antarabangsa dan juga arena-arena lain. Oleh itu beliau menyarankan agar  kita memperjuangkan perniagaan sebagai satu cabang jihad dan meletakkan perjuangan bisnes sebagai perkara utama dalam agenda ekonomi Islam Hadhari. Peranan kepimpinan dalam perjuangan jihad ini, tegas beliau, perlu melibatkan semua lapisan usahawan, sama ada awam mahu pun swasta, dan wajib di pikul oleh semua ahli korporat Muslim.
Menyentuh tentang aset dan harta milik individu dan keluarga Melayu, beliau berkata bahawa kedudukannya amat rapuh.  Kerapuhan disebabkan oleh kelemahan peribadi usahawan, fenomena pusaka 'sekangkang kera" dan fenomena “3 generasi”, di mana pegangan hakmilik bisnes keluarga selalunya tidak dapat bertahan lebih dari generasi ketiga pewarisnya. Sebagai contoh, 95 % dari perniagaan di negara Timur Tengah dikendali oleh pihak keluarga. Walaupun ianya menguntungkan, hanya 6% yang bertahan ke generasi ketiga dengan hanya  2% sahaja mampu bertahan ke generasi yang berikutnya.
Menurut beliau, jalan keluar utama  umat Islam memperjuangkan jihad bisnes ialah pertama, dengan menjana kekayaan dan menjadi pemegang utama kuasa ekonomi.  Langkah kedua melibatkan umat menginstitusikan hakmilik dan membina korporat gergasi Muslim yang diurus secara korporat, tetapi kepentingan majoriti hakmiliknya tidak terserah kepada individu atau keluarga kelompok kecil.  Malahan Tan Sri Ali menyarankan supaya umat Islam menilai konsep institusi waqaf korporat sebagai satu pilihan.
Beliau juga menyeru umat Islam supaya memperjuangkan nilai Islam dalam perniagaan  dengan membina sistem ekonomi yang secucuk dengan jiwa Melayu dan melihat umat Islam sebagai "ketam" yang disifatkan oleh musuhnya sebagai ‘berjalan tidak betul’. Cara Melayu berniaga, menurut beliau, perlu diubah-suai supaya secucuk dengan jiwa ‘ketam’ yang sebenarnya adalah berjalan dengan cara yang betul, iaitu di atas landasan Islam yang tidak mementingkan kepentingan individu di atas kepentingan masyarakat ramai. Dengan demikian, sistem perniagaan persaingan berlandaskan Islam perlu, antara lainnya, mempunyai ciri-ciri seperti berikut;
  •  Kekuatan kita terletak pada budaya ‘fastabiqul khairat’, atau 'berlumba-lumba untuk berbuat baik" 
  • ‘Barakah’ dari pegangan bahawa harta kekayaan adalah milik mutlak Allah SAW. 
  • Kekebalan yang terdapat pada sikap bekerja/berjihad dan bukan untuk peribadi
  • Kekuasaan perjuangan sebagai ‘khalifah’ bertujuan mentamadunkan dunia untuk manusia sejagat
Menurut beliau lagi, cara ketam 'menjalankan' perniagaan harus berbeza dengan cara makhluk lain seperti ‘siput, umang-umang dan belangkas’ berniaga. Umat Islam perlu   memilih budaya korporat organisasi ketam yang berasaskan kepada komitmen tinggi terhadap pekerjaan yang bermanfaat, iaitu selaras dengan kehendak agama yang inginkan setiap manusia mengeluarkan barangan dan perkhidmatan lebih dari  keperluan kegunaanya sendiri.
Tan Sri Muhammmad Ali Hashim memetik Surah AsSaf, Ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah Taala amat menyukai orang berjihad pada jalanNya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh" untuk kita jadikan panduan.
 
Sumber : PUNB
Oleh : Tan Sri Muhammad Ali Hashim 
Terakhir dikemaskini ( Thursday, 26 June 2008 )

No comments:

Post a Comment